Ahad, 10 November 2013

PROSES PEMBELAJARAN BERKESAN

Proses pembelajaran berkesan bukan memberi tumpuan kepada kesempurnaan tetapi lebih kepada usaha mempelajari sesuatu yang baru dan dilaksanakan dalam kehidupan harian.

Bagi Pengetua sekolah awam yang terletak di New South Wales, berhampiran Sydney, Ross Sutherland, berkata proses mendidik kanak-kanak peringkat awal mendapati mereka memerlukan bimbingan untuk membentuk daya pemikiran dan kreativiti bagi mempelajari sesuatu secara semula jadi.

Kanak-kanak di peringkat tadika kini akan memasuki dunia pekerjaan pada 2027 dan bersara pada 2070. Bagi memenuhi keperluan industri pekerjaan, beliau berkata, mereka perlu diberi kemahiran secukupnya, sekali gus membolehkan lebih berdaya saing.


Katanya, menjadi tanggungjawab semua pihak membuat persiapan awal dalam melahirkan generasi muda lebih berdikari, selain mampu bertahan dalam suasana global yang menuntut daya ketahanan tinggi.

“Berhadapan dunia pendidikan lebih kompleks dengan ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menuntut kepada kepelbagaian. Guru perlu terkehadapan dengan meningkatkan kemahiran mengendalikan teknologi.

“Kemudahan ICT juga dilihat mampu meningkatkan kecekapan guru dalam melaksanakan tugas harian termasuk menggunakan teknologi semasa menerusi proses khidmat pesanan ringkas,” katanya. 

ROMBAK

Rombak semula sistem pendidikan dengan mengubah kemasukan murid sekolah rendah daripada usia tujuh tahun seperti yang dipraktikkan sekarang kepada enam tahun.

Itu saranan Naib Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) , Profesor Datuk Dr Aminah Ayob kepada Kementerian Pelajaran untuk merombak sistem pendidikan agar kanak-kanak memasuki sekolah pada usia enam tahun.

Dr Aminah mengesyorkan rombakan itu kerana kanak-kanak zaman milenium kini bersedia memasuki alam persekolahan seawal usia enam tahun berikutan mendapat pelbagai pendedahan.

Beliau berkata, lebih banyak faedah yang boleh diperoleh jika memasuki sekolah rendah dalam usia awal.

Kajian mendapati lebih 90 peratus kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun mendapat pendidikan prasekolah di negara ini.

Justeru, tidak timbul mengenai persediaan mereka memasuki sekolah rendah pada umur enam tahun kerana mereka didedahkan ilmu ketika belajar di prasekolah.

Malah, katanya, dengan pelbagai kaedah pembelajaran terkini dan dibantu peralatan moden menyebabkan kematangan kanak-kanak zaman ini melebihi daripada generasi seusia mereka, 20 atau 30 tahun lalu.